Fairmummy.blogspot.com

Friday 7 September 2012

Kemandulan-Sebab, Penilaian Perubatan dan Pilihan Rawatannya

Mohd Hanifah Bin Jusoh  Artikel Cyberclinics Bidang Sakit Puan (O&G)

Soalan :
Tuan doktor, saya ingin bertanya. Saya telah berkahwin selama 10 tahun dan telah mempunyai anak yang berusia 9 tahun. Masalahnya saya ingin menambah lagi anak tetapi tidak pernah mendapat hasil yang positif. Sejak anak saya berumur 2 tahun lagi, saya berhasrat untuk menambah lagi anak. Untuk pengetahuan tuan doktor, saya tidak pernah mengambil sebarang ubat perancang keluarga. Sekarang umur saya 30 tahun, berat badan 68 kg dengan ketinggian 163 cm. Adakah kerana saya gemuk? Tetapi mustahil juga kerana ada saudara saya yang lebih gemuk daripada saya tetapi sudah mempunyai 4 orang anak. Saya sudah memeriksa rahim saya dan doktor cakap ok, tukang urut pun. Ujian pap smear pun sudah saya buat, ok juga. Tolong saya..

Jawapan:
Terima kasih kepada puan yang bertanya. Kemandulan atau mati pucuk atau ketidaksuburan  berlaku sebanyak 10-15% di kalangan pasangan yang mendirikan rumah tangga iaitu satu kes bagi setiap 7 pasangan yang berkahwin. Walaubagaimanapun, sejak kelahiran bayi tabung uji yang pertama pada tahun 1978, kefahaman yang mendalam berkaitan sistem pembiakan manusia telah membawa banyak kemajuan dalam bidang perubatan pembiakan bantuan (assisted reproductive technique) yang telah berjaya membantu ramai pasangan bagi mendapatkan anak.
Walaubagaimanapun, anak adalah anugerah daripada Allah sebagai amanah buat kita. Walaupun bidang perubatan mengalami kemajuan yang amat pesat pada abad ini, namun 17 % daripada masalah kemandulan masih belum dikenal pasti puncanya  kerana terdapat faktor-faktor yang tidak dapat dikesan oleh kaedah moden. Ini mungkin disebabkan kita belum mempunyai cukup teknologi dan ilmu untuk mengesan punca-puncanya. Dijangkakan peratusan itu akan menurun dari semasa ke semasa apabila teknik pengesanan dan teknologi perubatan kita bertambah baik.
Oleh itu, puan dan suami disarankan untuk memperbanyakkan doa kepada Allah agar dikurniakan cahaya mata di samping berikhtiar seperti berjumpa dengan pakar sakit puan (specialist in obstetrics and gynaecology) dan pakar sakit tuan (specialist in andrology) bagi melakukan pemeriksaan  perubatan, ujian-ujian untuk kes ketidaksuburan dan mendapatkan nasihat perubatan di klinik-klinik pakar infertiliti.
BMI indeks puan sebanyak 25.6 (Normal 18-25) iaitu lebih sedikit daripada normal. Apapun, secara umumnya, wanita-wanita yang mengandung atau ingin mengandung dinasihatkan mengekalkan berat badan yang ideal dan mengambil makanan dengan gizi yang seimbang. Bagi membantu kefahaman puan berkaitan sebab-sebab ketidaksuburan, puan boleh membaca artikel ringkas di bawah.
Definisi Kemandulan
Kemandulan bermaksud kegagalan isteri untuk hamil apabila melalui gerbang perkahwinan selepas tempoh setahun (untuk kemandulan primer) atau dua tahun (untuk kemandulan sekunder), dengan melakukan hubungan kelamin dengan kekerapan yang sewajarnya tanpa menggunakan sebarang ubat dan alat pencegah kehamilan.
Terdapat juga pakar yang menganggap mereka yang hamil tetapi gagal melahirkan anak yang hidup akibat keguguran yang berulang kali (habitual abortion) juga sebagai mereka yang mandul.
Jenis-jenis Kemandulan
Kemandulan dikategorikan kepada:
 1.  Kemandulan primer (Primary infertility)
    Kehamilan tidak pernah berlaku sejak berkahwin.  
    2. Kemandulan sekunder (Secondary Infertility)
      Pernah hamil sebelum ini sekurang-kurangnya sekali, kemudian gagal untuk hamil bagi mendapatkan anak yang seterusnya.
      Oleh sebab, puan pernah mempunyai anak sebelum ini, kemudian gagal untuk hamil bagi memperoleh anak seterusnya dalam tempoh yang panjang, puan dikategorikan dalam ketidaksuburan jenis ini.
      Bila Anda Perlu Mendapatkan Nasihat Perubatan?
      Secara statistiknya, 20-25% kehamilan berlaku selepas sebulan usia perkahwinan, 50% selepas 3 bulan, 75% selepas 6 bulan, dan lebih daripada 85% isteri akan hamil selepas setahun tempoh perkahwinan. Jadi, usaha untuk mendapat rawatan pakar perubatan perlu dilakukan selepas setahun perkahwinan untuk kemandulan primer dan dua tahun perkahwinan untuk kemandulan sekunder.
      Perlu diingatkan, faktor umur sangat penting untuk hamil bagi isteri. Kehamilan merosot sebanyak 50% apabila isteri mencecah umur 35 tahun dan ke atas dan peratusannya menjadi tersangat rendah dan menurun dengan mendadaknya selepas berumur 37 tahun. Jadi, untuk golongan sebegini anda perlu mendapatkan nasihat pakar perubatan segera iaitu 6 bulan selepas berkahwin tanpa kehamilan.  Peluang untuk sembuh akan menjadi lebih sukar jika tempoh infertiliti dibiarkan bertahun-tahun ataupun jika usia pasangan wanita melebihi 35 tahun. Kegagalan sebilangan besar wanita untuk hamil adalah berikutan kahwin lewat.
      Statistik kebiasaan tempoh perkahwinan sebelum hamil

      Terdapat juga kes-kes tertentu yang perlu mendapat nasihat perubatan segera iaitu kes-kes seperti kegagalan isteri untuk menghasilkan benih yang dipanggil proses ovulasi (anovulatory women) dan jangkitan pada bahagian atas organ pembiakan wanita (severe pelvic inflammatory disease).

      Related Post;
      Rawatan Kemandulan Secara Ringkas  
      Penilaian Perubatan Untuk Kes Kemandulan
      Sebab-sebab kemandulan yang berpunca daripada Isteri
      Sebab-sebab kemandulan yang berpunca daripada suami (30-40%):  
      Sebab-sebab lain kemandulan
      Sebab-sebab Kemandulan
      Kemandulan-Sebab, Penilaian Perubatan dan Pilihan Rawatannya
      Sumber; Cyberclinic
      Powered By relatedArticle


      No comments:

      Post a Comment