“ Kalau kau tak nak buat kerja ni, aku boleh cari pembantu
lain” masih terngiang kata-katanya di telingaku. Oh, Tuhan. Ternyata aku tak
lebih dari pembantu di mata mereka. Ah, aku telah salah menduga selama ini,
majlis ulang tahun itu ternyata bukan untukku. Majlis itu ternyata hanya untuk
mereka yang kaya sahaja. Barangkali memang
aku yang tak tahu diri!
Teringat bagaimana tatapan mata teman-teman yang
memandangku. Terbayang sikap Fatin yang tak acuh terhadapku. Padahal aku
terlalu berharap agar dia dapat membelaku. Hanya dia sahajalah yang dapat
membantuku, kerana Fatin adalah ketua kelas. Tetapi Fatin membiarkanku di caci
maki oleh Enny di hadapan teman-teman. Fatin langsung tak menunjukkan minatnya
untuk meleraikan perselisihan itu. Tidak pernah teman-teman lain yang
bertengkar. Dengan bermati-matian dia akan meleraikannya. Fatin pilih kasih!
Dia bukanlah ketua kelas yang baik. Dan Fatin juga tidak terkecuali dari mereka
yang cuba menjatuhkan harga diriku.
Dengan menyembunyikan tangisan di hadapan emak, aku terus
berlari menuju ke bilik. Tak ku pedulikan sinar kehairanan yang terlihat di
wajah emak. Hatiku telah luka, mak. Harga diriku telah dipijak-pijakkan.
Kuhempaskan tubuhku ke katil. Aku ingin melupakan kejadian tadi. Kepalaku
terasa berdenyut-denyut. Sampai akhirnya mataku terpejam.
Aku tidak tahu berapa lama aku telah tertidur, sampaikan
terdengar ketukan yang bertalu-talu di pintu kamarku.
“ Elly…Elly…bangun, nak. Dah nak maghrib ni. Kau belum makan
lagi. Jangan di biarkan perut tu kosong, nanti masuk angin, susah…” ku dengar
suara Emak di luar.
Dengan malas kubuka pintu, dan pada saat itu kedengaran
teriakan, “ Selamat Hari Jadi!!”
Aku terkejut. Di atas meja makan, kulihat sebiji kek
sederhana besar dengan angka 17 di atasnya. Ku lihat Emak dan adik-adikku
sedang menyanyikan selamat ulang tahun sambil bertepuk tangan. Di wajah mereka
terbias wajah kegembiraan dan kasih saying yang tulus. Ah, aku tak boleh
kecewakan mereka dengan perasaan lukaku.
No comments:
Post a Comment