Fairmummy.blogspot.com

Wednesday, 8 August 2012

Milik Siapakah Hatimu? 4

Tiba-tiba mata kami bertaut. Tak sangka, dia memandang ke arahku jua. Aku tersenyum. Yahoo! Dia pun tersenyum. Tindakbalas yang baik. Aku terus tersenyum simpul. Biasanya waktu malam, giliran Mama yang berjaga. Tapi, tak tahulah kenapa malam itu ringan saja kakiku melangkah pergi ke hospital. Seakan ada kuasa magnet menarik aku ke sana.
Kau mesti tahu nama doktor itu, malam ini juga. Aduhai Yatie, kejamnya perintahmu. Masih terngiang-ngiang di telinga, sewaktu aku menelefon Yatie petang tadi.
Ayah menerima kedatanganku dengan senyum lebar. Mama kehairanan. Terkejut melihat  kehadiranku pada malam itu.
 Memang menjadi kelaziman, aku tidak betah duduk diam lebih daripada sepuluh minit. Ada saja aktiviti lain yang aku buat. Selalunya aku akan bergayut di telefon  awam berhampiran. Yatielah yang menjadi mangsaku. Kali ini, aku memanjangkan kaki lagi. Tapi bukan ke telefon awam. Aku percepatkan langkah ke wad Perubatan perempuan di aras yang sama. di mana dia?
Setelah penat mencari, aku kembali ke katil ayah. Eh, itu pun dia! Dia berdiri di hujung sebuah katil pesaki lain. Memerhatikan jururawat-jururawat pelatih bertugas. Tiba-tiba dia berpaling dan mencapai sesuatu di atas troli di belakangnya. Aku merenungnya. Tepat. Dia tersenyum. Hui...manisnya. Tak tidurlah aku malam nanti. Dia meneruskan kerja. Tapi aku lihat senyuman manis terukir di bibirnya sehingga dia beredar dari situ. Malu barangkali. Aku menghampiri ayah dan sempat berbisik.
" Ayah, kalau doktor tu datang merawat ayah, jangan lupa tanya namanya, okey?"
Apalah nasibku, pada esoknya, awal-awal pagi aku sudah dapat berita baik daripada ayah. Nama doktor muda itu, Doktor Ibrahim, jelas ayah.
Ayah...ayah... dalam sakit sakitpun sempat juga merisik untukku. Dia memang seorang ayah dan sahabat yang sejati, juga memahami.
Kemudian, aku cuba hendak menjadi penyiasat lagi. Adakah doktor Ibrahim berkerja ataupun tidak pada hari itu? mujur ada sepupuku, Azila yang 'satu hati sama kepala' denganku. Dialah yang menemani aku menyiasat. Kami cuba panjangkan leher, mengintai jadual kerja doktor-doktor di papan kenyataan. Nasib menyebelahi aku lagi.Nah! Aku sudah dapat tarikh-tarkhnya. 1, 4,6,8 dan 10 haribulan Mei. Tapi aku hairan, selepas tarikh itu, namanya tidak lagi tertulis. Ah! Aku tak peduli, asalkan aku dapat berjumpa dengannya sehingga 10 Mei. Mungkin juga pada masa itu, ayah sudah dibenarkan keluar. Lagipun pada hari itu adalah Hari Raya haji. Kebetulan Hari Jadi ayah yang ke 56 jatuh pada hari yang sama. Minta-mintalah ayah sudah sembuh. Bolehlah meraikannya di rumah.


No comments:

Post a Comment