Fairmummy.blogspot.com

Thursday, 9 August 2012

Milik Siapakah Hatimu? 5

" Adik! adik! " satu suara mengejutkan aku. Lamunanku terhenti Rupa-rupanya sudah jauh menung ku.
" Ya Kak, ada apa?" Jururawat yang bernama Hamidah itu, kurenung tepat.
" Kejap lagi, ayah adik akan dipindahkan ke tingkat 8, wad kelas dua. Adik kemaskan barang-barang dulu ye, kemudian isi borang ni. Lepas tu hantar kat kakak semula."
Aku mengiyakan saja katanya. Aduh! rosak program aku.Aku kerling jam di tangan. Baru pukul 2 petang. Hari ini tanggal 1 Mei. Aku tahu, Doktor Ibrahim mula bertugas petang ini. Sudah lama aku tidak menatap wajah manis milik doktor itu.
Mahu saja aku beritahu jururawat tadi supaya tidak memindahkan ayah. Ah! Nanti apa pulak katanya. Manyusahkan saja budak ni. Dulu beriya-iya benar meminta agar ayah dipindahkan ke kelas dua. Mahu tidak mahu, terpaksa aku kemaskan barang-barang ayah. Mungkin bukan rezeki aku hari ini. 
Banyak juga barang ayah yang perlu aku bawa naik. Untung juga aku ada ramai kenalan di tingkat 7. Merekalah yang membantu aku.
Aku sempat meninjau-ninjau tempat baru itu. Ayah berkongsi bilik dengan 3 orang pesakit lain. Suasana di sini agak tenang. Tapi kalau di kelas pertama, mungkin keadaannya lebih selesa lagi. Tak apalah, inipun sudah cukup, bisikku. Kebetulan katil ayah di tepi tingkap. Bolehlah meluaskan pemandangan di luar kalau bosan.
Aku bersiar-siar lagi. Kononnya hendak menelefon Mama, tapi tidak jadi. Aku berpatah balik ke kelas pertama. Ketika melalui kaunter di mana jururawat-jururawat yang bertugas sedang berkumpul, aku terpandang kelibat seseorang. Memakai t-shirt hitam berbelang kelabu, berseluar dan berkasut hitam. Orang itu berdiri membelakangi aku. Aku pasti dia ialah Dr Ibrahim. Aku pura-pura berdiri memerhatikan nama-nama pesakit di papan kenyataan yang berhampiran, dengan harapan Dr Ibrahim akan melintasi aku.
Rancangan aku berhasil. Beberapa minit kemudian, aku dengar ada derap kaki yang melangkah. Semakin hampir ke arahku. Aku berpaling. Mataku pantas menangkap matanya. Lama aku tidak melihat wajah itu. Rindukah aku padanya? Aku cuba tersenyum.Tawar. Dia cepat-cepat melangkah pergi. Aduh! Pemalunya doctor ini. Aku mengekori langkahnya hingga dia membelok ke satu bilik.


No comments:

Post a Comment